Friday 27 April 2018

Hilangnya al-Quran dari dada-dada huffaz


Status kisah hilangnya surah/ayat quran dari mushaf dan kaitan surah al-Kahfi dengan peristiwa dajjal

Tanda kiamat - Quran akan hilang dari mushaf dan dari hati pengamalnya

Memang terdapat bukti dari al-Quran dan hadits tentang peristiwa al-Quran akan lenyap dari dunia apabila tiba saatnya nanti.

Dalil:

Allah S.W.T berfirman:

Dan sekiranya Kami kehendaki nescaya Kami akan hilangkan apa-apa yang telah Kami wahyukan kepada kamu kemudian kamu tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami untuk mengembalikannya.(Surah Al-Isra’: 86)

Mengulas ayat ini, al-Imam al-Thabari menukilkan kata-kata daripada Abdullah Ibnu Mas’ud R.A bahawa beliau mentakwilkan ayat ini dengan katanya: Allah menghilangkan apa-apa yang diwahyukan kepadanya itu adalah dengan cara mengangkatnya dari dada-dada para qurra’. Lihat Tafsir al-Thabari (hlm. 290).


 “Akan ditinggalkan al-Quran pada malam tersebut dan tidak akan kekal satu ayat di dalam mushaf (al-Quran) dan uga di dalam hati seseorang melainkan ia (al-Quran) telah diangkat”.
 (HR ad-Darimi, 3209 dengan sanad yang sahih)

Telah berkata al-Laith bin Sa’ad: dikatakan al-Quran itu terangkat apabila manusia mula meninggalkan al-Quran. (Fath al-Mannan, 10/488)


Kes-kes kejadian ayat al-Quran hilang dari mushaf

Walaupun kisah-kisah ini dilaporkan di beberapa tempat di dalam negara, kesahihannya tidaklah boleh diterima sebegitu sahaja tanpa melakukan pengumpulan maklumat dan kajian yang lebih terperinci. Ada juga kisah melaporkan kehilangan surah-surah lain selain al-kahfi seperti di Parit Buntar, Perak dan Johor Bharu.[1-2]

Justeru, apa yang berlaku di tanah air dan juga di tempat-tempat yang lain sebelum ini bukanlah bermaksud al-Quran itu diangkat ke langit, kerana maksud yang sebenarnya ialah diangkat semua iaitu hilang huruf dan ayat dari mushaf begitu jua dengan ketiadaan huffaz.

Mufti wilayah persekutuan dalam Bayan Linnas siri 54 [3], berpendapat kejadian yang berlaku adalah disebabkan beberapa perkara yang perlu diambil kira.

Antaranya:

· Berlakunya salah cetak terhadap mushaf itu.
· Mutu kualiti kertas yang digunakan adalah dari jenis yang rendah.
· Semakan yang tidak rapi terhadap mushaf tersebut.
· Terlangkah atau terlangkau ayat ketika proses percetakan berlaku.
· Mutu dakwat yang digunakan kurang berkualiti yang mana boleh membawa kepada hakisan.

Mereka berpendapat sedemikian kerana, terdapat banyak lagi syarikat percetakan yang berwibawa seperti Majma’ Malik al-Fahd yang terletak di Madinah, Arab Saudi tidak berlaku masalah seperti ini.

Walaubagaimanapun, untuk menolaknya seratus peratus juga adalah kurang wajar, kerana tidak ada yang mustahil bagi Allah apabila berkehendakkan berlakunya sesuatu.

Kesimpulan:

Kisah mushaf hilang ini seharusnya perlu disikapi dengan sikap pertengahan iaitu tidak menolak mentah-mentah ataupun mempercayai bulat-bulat tanpa memahami dengan fakta yang sebenar. Yang perlu kita yakini adalah al-Quran ini tetap dijaga Allah sehinggalah diangkat dari dada-dada huffaz dan mushaf pada hari yang dijanjikan. Justeru itu, kita seharusnya belajar, membaca serta mentadabbur maknanya dan dijadikan pedoman.


Surah al-kahfi menyelamatkan dari fitnah dajjal

Banyak hadits-hadits Nabi saw yang menjelaskan keutamaan surah al-Kahfi.

Dalil:


Dari Abu Darda, dari Nabi saw bersabda,

 “Barangsiapa menghafal sepuluh ayat pertama surat al-Kahfi maka dia akan dijaga dari Dajjal”
(HR Muslim, 809; Abu Daud, 3765; Ahmad, 26244)-semua jalur periwatannya sahih.

Imam Nawawi dalam syarah muslim berkata, “(Kenapa dianjurkan untuk dibaca surah al- Kahfi?) Kerana di awal surah tersebut terdapat ayat-ayat yang menakjubkan. Siapa yang mahu merenungkannya, nescaya ia akan terlindung dari fitnah Dajjal. Sebagaimana pula dalam akhir-akhir ayat surat tersebut,

Juga dari Abu Sa’id Al Khudri, Nabi saw bersabda,

Barangsiapa yang membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat
(HR. Al Baihaqi dalam Al Kubro 3: 249; Ad-Darimi 2:246. Syaikh Albani mengatakan bahawa hadits ini sahih sebagaimana dalam Sahihul Jami’ no. 6470, 6471 masing-masing).

Di dalam surah Al-Kahfi sungguh banyak kisah-kisah yang dapat dijadikan pengajaran, mulai dari kisah ashabul kahfi, kisah Nabi Musa dan Khidir, dan kisah Zulqarnain, juga terdapat penetapan hari kebangkitan. Oleh kerana itu, sudah selayaknya surah ini dibaca, lebih baik lagi dihafalkan. Waktu terbaik untuk membacanya adalah di hari Jumaat, seperti yang disarankan oleh Nabi saw.


Kesimpulan:

Kenyataan dari video berkenaan berdasarkan hujah dari hadits-hadits sahih dan warid diamalkan.


Catatan:

Warid
Beribadah mengikuti cara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw

Qurra’
Para penghafaz al-Quran




________________________________________________________________

Rujukan

1)     Khairil Anwar, M. A. (2016, March 8). Ayat al-Quran hilang bertambah enam muka surat. Sinar [Kuala Lumpur]. Dicapai dari http://www.sinarharian.com.my/nasional/ayat-al-quran-hilang-bertambah-enam-muka-surat-1.494557

2)    Tidak Bernama. (2017, June 30). Lapan muka surat al-Quran ghaib. Harian Metro [Johor Bharu]. Dicapai dari https://www.hmetro.com.my/utama/2017/06/241084/lapan-muka-surat-al-quran-ghaib

3)    Zulkifli, M. A. (2016, March 9). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - BAYAN LINNAS SIRI 54: AYAT AL-QURAN HILANG DARI MUSHAF? Dicapai dari http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1775-bayan-linnas-siri-54-ayat-al-quran-hilang-dari-mushaf

Selesai


Tinta Salatin, 27 April 2018, 3.49 pm

Wednesday 11 April 2018

Amal Cerminan Ilmu






إِنَّ الْحَمْدَ لله نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوْذُ بلله مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ الله فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إله إلا الله وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ

Sesungguhnya pujian hanya bagi Allah. Kita memujiNya, meminta pertolongan kepada-Nya dan keampunan daripada-Nya. Kita berlindung dengan Allah daripada kejahatan diri kita dan keburukan amalan perbuatan kita. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, tiada yang dapat menyesatkannya. Dan sesiapa yang disesatkan, tiada yang dapat memberikan petunjuk kepadanya. Aku bersaksi bahawa tiada Ilah (yang layak disembah) melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.




1
Pernahkah kita terlintas suatu ketika apabila melakukan sesuatu ibadah, kita merasakan adakah ibadahku ini menepati kehendak syariat dan akan diterima oleh Allah SWT?

Ataupun, kita merasakan bahawasanya ibadah-ibadah yang selalu kita lakukan turun temurun mengikut fahaman nenek moyang, guru, ustaz, ustazah itu tidak menepati syariat, dan kita berusaha untuk bertanya kepada orang yang lebih alim, menghadiri seminar, datang ke kuliah agama, ceramah untuk mendapatkan pencerahan.

Jika sikap semacam ini hadir dalam diri kita, Alhamdulillah kita masih di atas landasan agama dengan disiplin yang benar. Inilah sikap penting yang perlu ada dalam setiap umat islam. Semangat untuk mendasari setiap ibadah dan amalan dengan ilmu merupakan cerminan seseorang terhadap kesempurnaan beramal.

Imam Ahmad dan para fuqaha ahli hadis -Imam Syafi’i termasuk di dalamnya- berkata:-


إنَّ الْأَصْلَ فِي الْعِبَادَاتِ التَّوْقِيفُ

“Hukum asal ibadah adalah tauqif (menunggu sampai adanya dalil)” (Majmu’ Al Fatawa, 29: 17)


Ramai ulama dan fuqaha menasihatkan setiap amal yang kita lakukan hendaklah didasari dengan dalil kerana ini merupakan asas dalam ibadat. Dari mana kita boleh mengutip dan memahami dalil? Ya tentulah dengan ilmu. Ilmu yang macam mana? ilmu yang bersesuaian dengan amal tersebut bersumberkan Al-quran dan Sunnah.


Sufyan at-Tsauri mengatakan:
إِنْ اسْتَطَعتَ ، أَلَّا تَحُكَّ رَأسَكَ إِلَّا بِأَثَرٍ فَافعَلْ
Jika kamu mampu tidak akan menggaru kepala kecuali jika ada dalilnya maka lakukanlah
(Al Jami’ li Akhlaq ar Rawi wa Adab as-Sami’, Khatib al-Baghdadi, Mauqi Jami’ al-Hadis: 1/197)

Namun, masih ramai lagi kebanyakan kaum muslimin kurang peka akan disiplin ini. Kebanyakan hanya menuruti kebiasaan yang dianuti turun-temurun dari emak, ayah, datuk, nenek, sekolah dan para asatizah mereka tanpa berusaha mencari mengapa ibadah/ amal itu perlu dilakukan sedemikian. Sehinggakan ada amalan ibadah yang nampak seperti datang dari syariat agama, tetapi sebenarnya tersasar. Amalan itu nampak baik apabila dilakukan, malangnya di sisi syariat tertolak. Ada juga kita kadangkala merasakan/menuduh amalan sesorang itu pelik dan ganjil dari pandangan kebiasaan, tetapi sebenarnya amalan itulah yang mendekati kebenaran dalam syariat. Apabila di dada kita kurang ilmu, makan kita akan cenderung melakukan kesilapan dalam ibadan dan mudah menuding salah akan amalan sesorang yang tidak seperti kebanyakan orang yang sudah dianuti secara turun temurun. Inilah yang dikatakan oleh penulis seperti tajuk di atas, yakni amal itu cerminan dari ilmu kita. 



2
Apa itu ilmu?


Yang dimaksudkan dengan ilmu dalam konteks beramal adalah dalil, baik dari Al-Quran maupun hadis Nabi SAW. Syaikhul Islam, Ahmad bin Abdul Halim al-Harrani mengatakan:

العِلمَ مَا قَامَ عَلَيْهِ الدَّلِيلُ وَالنَّافِعُ مِنْهُ مَا جَاءَ بِهِ الرَّسُولُ
Ilmu adalah kesimpulan yang ada dalilnya, sedangkan ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang dibawa oleh Rasul SAW”. (Majmu’ Fatawa, 6/388).
Perkara ini perlu ditegaskan agar tidak terjadi salah faham. Pokok perbahasannya adalah ingin menjelaskan, setiap orang yang beramal dan dia mengetahui dalilnya maka boleh dikatakan, orang ini telah beramal atas dasar ilmu. Sebaliknya, beramal namun tidak ada landasan dalil belum dikatakan beramal atas dasar ilmu.
Jadi bagaimana dengan orang awam yang tidak memahami dalil?
Apakah dia diwajibkan mencari dalil?
Jawapannya: untuk orang awam, dalil bagi mereka adalah dengan mengikuti keterangan dan fatwa ulama yang mendasari telah berhujah dengan dalil dan bukan pendapat atau pemikirannya yang membelakangi Al-quran dan sunnah.
Dalilnya adalah firman Allah:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Bertanyalah kepada ahli ilmu, jika kalian tidak mengetahuinya” (QS. Al-Anbiya: 7)


3
Ilmu dulu baru amal


Mengapa ilmu begitu penting?

Kerana dengan ilmulah kita akan mengetahui bahawa yang wajib adalah wajib, yang sunnah adalah sunnah, yang haram adalah haram. Tidak hanya itu, selain mengetahui hukum setiap perbuatan, seseorang dapat menunaikan tugas-tugasnya sebagai hamba Allah SWT dengan sebaik-baiknya, kerana bersendikan ilmu.



4
Muslim atau Yahudi atau Nasrani?


Berkaitan isu ini, Allah SWT telah merakamkan dalam Al-Fatihah, 5-7 dengan firmanNya:-


اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (5) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ (6) غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (7)
“Berilah kami petunjuk ke jalan yang lurus {5} yaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat {6} Bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat {7}.”(QS. Al-Fatihah: 5 – 7).
Pada ayat di atas, Allah membahagikan manusia berdasarkan dengan hidayah ilmu menjadi tiga golongan:

Pertama:-
Golongan orang yang mendapat nikmat. Merekalah golongan yang mengikuti petunjuk Nabi SAW dan para sahabat dalam beragama.
Kedua:
Golongan orang-orang yang dimurkai. Merekalah orang-orang yahudi
Ketiga:-
Golongan orang-orang yang sesat, iaitu orang-orang nasrani.
Ibnu Taimiyah menyimpulkan sebab kedua-dua umat yahudi dan nasrani dikafirkan:
Kesimpulannya, bahawa:-
Kekafiran orang yahudi pada asalnya disebabkan mereka tidak mengamalkan ilmu mereka. Mereka memahami kebenaran, namun mereka tidak mengikuti kebenaran tersebut dengan amal atau ucapan.
Sedangkan kekafiran nasrani disebabkan amal perbuatan mereka yang tidak berlandaskan ilmu. Mereka rajin dalam melaksanakan berbagai macam ibadah tapi tanpa petunjuk syariat dari Allah.
Kerana itu, sebaghagian ulama, seperti Sufyan bin Uyainah dan yang lainnya mengatakan: “Jika ada golongan ulama yang sesat, itu kerana dalam dirinya ada kemiripan dengan orang yahudi. Sedangkan golongan ahli ibadah yang rosak kerana dalam dirinya ada kemiripan dengan orang nasrani” 
(Iqtidha’ Shirathal Mustaqim, Ahmad bin Abdul Halim al-Harrani, dengan Tahqiq Dr. Nashir al-`Aql, Kementerian Wakaf dan Urusan Islam KSA, 1419 H, jilid 1, hal. 79).

Umat islam hendaklah mengekalkan kedudukan di pertengahan (wasatiyyah), dengan menggabungkan antara ilmu dan amal seperti yang telah dijelaskan dalam surah Al-Fatihah tersebut.

5
Keutamaan ilmu zaman ini


Imam Nawawi dalam Muqaddimah Syarah Majmu’, hal. 48 berpendapat bahawa meyibukkan diri dengan mencari ilmu lebih afdhal daripada sibuk beribadah sunnah, seperti solat, puasa sunat dan membaca tasbih.
Ada beberapa alasan dengan apa yang diungkapkan oleh Imam Nawawi, antaranya ialah:-
a)manfaat ilmu lebih meluas kepada kaum Muslimin. Sedangkan ibadah sunat manfaatnya hanya untuk dirinya.
b)kerana ilmu itu memperbaiki ibadah, dan ibadah sunat itu juga memerlukan ilmu.
c)ulama merupakan warisan Nabi.
d)kerana ilmu tetap kekal meskipun orangnya telah meninggal dunia. Sedangkan ibadah sunat terputus jika seseorang meninggal dunia.



6
Syarat amalan untuk diterima Allah


a)    Iman


إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلاً

Sesungguhnya, orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, untuk merekalah syurga-syurga Firdaus.” (QS. Al Kahfi: 107)

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (QS. An-Nahl:97)


Rasulullah SAW bersabda,

قُلْ أَمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ

Katakan, ‘Aku beriman kepada Allah’, kemudian istiqamah-lah.” (HR. Muslim no. 55]

b)   Ikhlas

وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Dan barangsiapa yang berbuat demikian (iaitu: memberi sedekah, atau berbuat ma’ruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia) kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar. (QS. An-Nisa: 114)


c)    Ittiba’

Ittiba bermaksud amalan yang dilakukan hendaklah sesuai dengan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Allah SWT berfirman,
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا

Dan apa-apa yang datang kepada kalian dari Rasulullah, maka ambillah. Dan apa-apa yang beliau larang darinya untuk kalian, maka jauhilah.” (QS. Al Hasyr: 7)
Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ

Barangsiapa membuat perkara baru di dalam urusan kami (agama) ini, apa-apa yang bukan padanya, maka itu tertolak. (HR. Muslim no. 1718).


Kesimpulan


a)Setiap mukmin hendaklah sentiasa terus menerus mencari ilmu dalam rangka memperbaiki amalan dan ibadah
b)Jangan membuta tuli melakukan sesuatu amalan dan ibadah tanpa berlandaskan dalil yang tepat lagi benar
c)Niat ikhlas kerana Allah semata-mata tanpa ittiba’ dalam beramal tidak mampu membuatkan amal itu diangkat oleh Allah
d)Janganlah bersikap ghuluw (ekstrim) dan asabiyyah (taksub) terhadap individu/mazhab tertentu. Jika sesuatu pendapat yang dikeluarkan itu menyelisihi dalil wajiblah ditinggalkan.



Wallahu a’lam

Tuesday 10 April 2018

Meraikan perbezaan pendapat dalam masalah khilaf dan ijtihad



إِنَّ الْحَمْدَ لله نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوْذُ بلله مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ الله فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إله إلا الله وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ

Sesungguhnya pujian hanya bagi Allah. Kita memujiNya, meminta pertolongan kepada-Nya dan keampunan daripada-Nya. Kita berlindung dengan Allah daripada kejahatan diri kita dan keburukan amalan perbuatan kita. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, tiada yang dapat menyesatkannya. Dan sesiapa yang disesatkan, tiada yang dapat memberikan petunjuk kepadanya. Aku bersaksi bahawa tiada Ilah (yang layak disembah) melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.




1
Taqlid


Penyakit taqlid dewasa kini menjadi semakin berleluasa di kalangan masyarakat kita sehingga ramai yang bertaqlid dan beramal dengan Islam hanya berdasarkan ikutan dan kepercayaan yang didengarnya tanpa mengetahui sebarang dalil mahupun hujah. Mereka hanya mendengar agama dari para asatizah dan agamawan serta menerima bulat-bulat apa yang disampaikan tanpa mempertimbangkan terlebih dahulu isinya adakah bertepatan dengan pertunjuk dari Allah mahupun Rasul.

Masyarakat awam sanggup mengenepikan hukum hakam yang diistinbat dari Al-Quran mahupun dari As-Sunnah yang sahih semata-mata untuk menuruti mazhab, taqlid mereka pada imam,ulama', tok guru mahupun ustaz atau individu tertentu yang tidaklah maksum secara membuta tuli.

Sesungguhnya perintah menjauhi taqlid amat jelas disebut oleh Allah SWT dalam Al-Quran 

"وَلاَ تَقْفُ مَا لَيسَ لَكَ بِهِ عِلْمُ إِنَّ السَّمْعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسئُولاً" (لأسرا: 36) 

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36). 

Taqlid bererti mengikuti pendapat orang lain TANPA mengetahui hujah/dalilnya1. Adapun jika seseorang berpegang dengan Al-Quran dan hadis, tidaklah disebut taklid. Ia disebut sebagai orang yang ittiba’ iaitu mengikuti dalil.

a)    Persamaan antara taqlid dan ittiba’ = dari sisi mengambil atau mengamalkan pendapat atau perbuatan orang lain
b)   Perbezaannya pula = taqlid dilakukan dengan tanpa dalil, sedangkan ittiba’ dilakukan dengan dalil.


2
Bolehkah bertaqlid1?


Sebagian orang tidak mampu ittiba’ dalam segala keadaan ataupun sebahagiannya, maka mereka ini diperbolehkan taqlid, sebagaimana penjelasan Syaikh Asy-Syinqithi dalam Mudzakkirah Ushulil Fiqh, hlm. 533-534. Beliau mengatakan: “Tidak ada yang menyelisihi tentang kebolehan taqlid bagi orang awam kecuali sebagian kelompok Qadariyah.”

Namun, hukum ini tidak boleh dipukul sama rata dalam semua bentuk taqlid kerana ada beberapa bentuk taqlid yang dilarang, seperti dihuraikan oleh Syaikh `Abdul Aziz ar-Rajihi dalam At-Taqlid wal Ifta’ wal Istifta’ seperti:- 

a)taqlid nenek moyang dan berpaling dari wahyu
b)taqlid kepada orang yang tidak diketahui keahliannya dalam agama
c)taqlid setelah mengetahui dalil yang menyelisihi pendapat orang yang diikuti
d)pendapat firqah syiah Imamiyah yang mewajibkan mengikuti imam yang mereka.
e)fanatik kepada mazhab imam tertentu sekalipun telah ada hujah/dalil yang lebih sahih
f)pendapat sekelompok orang yang mengaku mengikuti ahli tasawuff yang menjadikan perkataan-perkataan dan kejadian-kejadian yang diriwayatkan dalam kitab-kitab mereka sebagai agama, sekalipun menyelisihi al-Quran dan Sunnah
g)para muqallid (orang-orang yang taqlid) menjadikan hakim syaikh-syaikh yang mereka anggap telah meraih darat kesempurnaan tertinggi, dan mereka menisbatkan kesalahan yang mereka lakukan kepada syaikh-syaikh itu, serta menolak kebenaran yang dinukilkan dari para ulama yang mendahului para syaikh itu
h)pendapat para rasionalis/liberal dari firqah Mu’tazilah yang mengukur kebaikan dan keburukan dengan akal.

3
Penyelesaian untuk ORANG AWAM dalam masalah khilaf/ijtihad



Secara ringkasnya umat islam boleh dibahagiakan kepada 3 golongan2:

1)      Mujtahid
Orang yang diberikan Allah ilmu dan pemahaman.  Mampu untuk berijtihad dan mengistinbath (mengeluarkan) hukum bahkan dia wajib mengatakan apa yang menjadi tuntutan dalil baginya, sekalipun orang-orang mungkin tidak setuju dengannya, kerana dia diperintahkan demikian. Dia termasuk ahli istinbath yang mengetahui petunjuk dalam Firman Allah dan sabda Rasulullah SAW.

2)      Muttabi’
Orang awam yang menuntut ilmu yang memiliki ilmu untuk menelaah dalil-dalil yang diyakini namun belum sampai darjat ulama. Tidak segan bertanya kepada orang yang tinggi ilmu daripada dirinya. Ini membentuk perkembangan (penambahbaikan) dalam amal mereka dengan tujuan untuk mencapai sesuatu amalan agama itu sesuai seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

3)      Muqallid
Orang awam yang tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmu agama. Hanya bertaqlid (mengikuti) tanpa ilmu kepada orang yang lebih alim. Golongan ini dicela (baca tidak disukai, bukan dicaci atau dikeji) oleh kebanyakan ulama kerana tidak berusaha meningkatkan ilmu sedangkan menuntut ilmu itu wajib.


Yang jelas orang awam dan mereka yang tidak mampu berijtihad dibenarkan mengambil pandangan mana-mana imam (mazhab) atau alim yang sampai ke martabat mujtahid sebagai rujukan.


Allah Ta’ala memerintahkan untuk bertanya pada orang yang berilmu,

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui” (QS. An Nahl: 43 dan Al Anbiya’: 7).

Ibnul Qayyim rahimahullah menyatakan,

وَهَذَا أَمْرٌ لِمَنْ لاَ يَعْلَمُ بَتَقْلِيْدِ مَنْ يَعْلَمُ

“Ayat di atas menunjukkan perintah bahawa yang tidak tahu hendaklah taqlid (mengikuti) yang lebih tahu.” (I’lamul Muwaqqi’in, 2: 448)
Ibnu Taimiyah rahimahullah pula berkata,

وَأَنَّ الِاجْتِهَادَ جَائِزٌ لِلْقَادِرِ عَلَى الِاجْتِهَادِ وَالتَّقْلِيدَ جَائِزٌ لِلْعَاجِزِ عَنْ الِاجْتِهَادِ

“Ijtihad itu dibolehkan bagi orang yang mampu berijtihad. Taqlid juga dibolehkan bagi orang yang tidak mampu berijtihad.” (Majmu’ Al Fatawa, 20: 204).

Ijtihad di sini bermaksud memilih pendapat yang dirasakan kuat dan paling mendekati kebenaran untuk diikutinya selepas berupaya mencari dalil dan memahaminya.


Menurut Syaikh Muhammad bin Shalih Al ‘Utsaimin3

Masalah khilafiyah terbagi menjadi dua jenis:

1)    Masalah ijtihadiyah yang BOLEH ada khilaf di dalamnya. Untuk masalah ini tidak boleh menentang dengan keras orang yang berijtihad.
-       Adapun untuk orang awam, hendaklah mengikuti pendapat ulama yang ada di negeri masing-masing agar tidak keluar dari pendapat masyarakat yang ada. Kerana jika kita katakan pada orang awam, “Ikutilah pendapat apa saja yang kau dapati.” Akhirnya seperti ini, umat tidak bersatu. Oleh kerananya Syaikh ‘Abdurrahman As Sa’di rahimahullah berkata,
العوام على مذهب علمائهم

“Mazhab orang awam adalah sesuai dengan ulama mereka.”

2)    Masalah yang TIDAK BOLEH ada perselisihan di dalamnya dan bukan ruang lingkup ijtihad. Untuk masalah kedua ini boleh ditentang orang yang menyelisihinya kerana tidak ada uzur saat itu.

4
Pendapat ulama dan khilaf mereka itu BUKAN dalil




Para ulama BUKAN manusia maksum yang selalu benar dan tidak pernah terjatuh dalam kesalahan. Terkadang masing-masing dari mereka berpendapat dengan pendapat yang salah kerana bertentangan dengan dalil. Mereka kadang tergelincir dalam kesalahan.


Rasulullah SAW bersabda,

إِذَا َاجْتَهَدَ الْحَاكِمُ فَأَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذََا اجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ

“Jika seorang hakim berijtihad lalu benar, maka ia berhak mendapat dua pahala, namun jika ia berijtihad lalu salah, maka ia mendapat satu pahala” HR. Bukhari no. 3609 dan Muslim no. 2214.

Bahkan Imam Nawawi rahimahullah menukilkan ijma’ ulama, beliau berkata:

قال العلماء : أجمع المسلمون على أن هذا الحديث في حاكم عالم أهل للحكم ، فإن أصاب فله أجران : أجر باجتهاده ، وأجر بإصابته ، وإن أخطأ فله أجر باجتهاده

“Ulama berkata, kaum muslimin bersepakat bahawa hadis ini mengenai hakim yang menguasai hukum Islam. Jika ia benar mendapat dua pahala, pahala ijtihad dan pahala kebenaran. Jika salah maka hanya mendapat satu pahala iaitu pahala ijtihadnya” Al-Minhaj Syarh Muslim 12/14.

Al-Hafiz Abu Umar Ibnu Abdil Barr berkata:

“Perselisihan ulama bukanlah hujah / alasan menurut seluruh fuqaha yang saya ketahui, kecuali orang yang tidak mempunyai ilmu dan bashirah dan pendapatnya tersebut tidak dapat dijadikan hujah.” (Jami’ Bayanil ‘Ilmi wa Fadhlihi: 2 / 229).


Al Khaththabi berkata:

“Ikhtilaf (perselisihan) ulama bukan hujah, menjelaskan sunnah itulah hujah atas orang-orang yang berselisih dari dahulu sampai sekarang.” (A’lamul Hadis: 3 / 2092)


Al Imam Asy Syathibi berkata:

“Perkara ini telah melebihi batasan semestinya, sehingga perselisihan ulama dijadikan alasan untuk membolehkan…. barangkali muncul fatwa yang melarang, lalu dikatakan:

“Mengapa engkau melarang, padahal masalah ini masih diperselisihkan.”

Ini adalah sebuah kesalahan terhadap syariat, kerana ia telah menjadikan sesuatu yang tidak layak dijadikan hujah sebagai hujah.” (Al-Muwafaqat: 4 / 141).

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata:

“Tidak boleh bagi seorangpun berhujah dengan pendapat seorang ulama dalam masalah-masalah yang diperselisihkan” (Majmu’ Fatawa: 26 / 202 – 203).


Syeikh Salim bin Ied al-Hilaly berkata4:

Mengharuskan/mewajibkan seorang muslim untuk mengikuti salah satu mazhab tertentu termasuk bid'ah. Kerana alasan-alasan, atau dalil-dalil tertentu.

1. Pendapat yang mengharuskan mengikuti salah satu mazhab yang empat didasarkan atas penutupan pintu ijtihad, maka tidak boleh menutupnya kecuali berdasarkan nas dari Al-quran dan sunnah.Nas-nas sahih menegaskan bahawa ijtihad akan terus berlangsung sampai hari kiamat.seperti sabda Rasulullah SAW.

"Sesungguhnya Allah akan membangkitkan setiap seratus tahun seorang mujaddid yang memperbaharui dien bagi umat ini"(H.R Abu Daud 6/349, Hakim 4/516, Al-Baihaqi no. 109 dan lainnya, hadis ini sahih).

2. Bermazhab, iaitu taklid (buta), adalah tradisi kaum awam dan kaum jahil. Seperti yang ditegaskan oleh para imam ahli ilmu, di antaranya perkataan At-Thahawi:"Tidak ada yang bertaklid kecuali orang jahil atau bodoh."Dan perkataan As-Syuyuthi:"Orang yang bertaklid, tidak disebut alim" As-Syaukani menjelaskan lagi:"Sesungguhnya taklid adalah kejahilan bukan ilmu".

Ibnu ayyim Al Jauziyyah mengatakan:"Tidak boleh berfatwa atas dasar taklid, kerana taklid bukanlah ilmu, sedangkan fatwa tanpa ilmu hukumnya haram.

3.Para Imam yang empat telah melarang orang lain bertaklid kepada mereka. Bahkan mereka memerintahkan murid-muridnya untuk mempelajari dalil-dalil mereka dan kebenarannya. Jika terdapat kelemahan atau kesalahan pada pendapat mereka, maka mereka berpegang teguh pada Sunnah Rasulullah.Ini merupakan bukti ilmu dan ketawaan mereka. Mereka telah mengisyaratkan bahawa tidak seorangpun yang dapat menguasai seluruh hadis-hadis Rasulullah.


Orang yang hatinya berpenyakit akan mencari-cari pendapat salah dan aneh dari para ulama demi mengikuti nafsunya menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Sulaiman At Taimi berkata,
Andai engkau mengambil pendapat yang mudah-mudah saja dari para ulama, atau mengambil setiap ketergelinciran dari pendapat para ulama, pasti akan terkumpul padamu seluruh keburukan” (Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya, 3172)

5
Bagaimana jika ada menyatakan “Tidak boleh ingkar masalah khilaf”


Bagaimana mungkin seorang ahli fiqih mengatakan sedemikian, padahal ulama dari semua golongan telah sepakat menyatakan secara tegas bahawa keputusan hakim jika menyelisihi dalil yang jelas dan tepat dari Al-Quran atau As-Sunnah menjadi batal. Walaupun keputusan tadi telah sesuai dengan pendapat sebahagian ulama (Ibnu Qayyim,I’lamul Muwaqqi’in, 3/252).


Sedangkan jika dalam suatu permasalahan tidak ada dalil yang jelas dan tegas dari As-Sunnah atau ijma’ dan memang ada ruang bagi ulama untuk berijtihad dalam masalah ini, maka orang yang mengamalkannya tidak boleh diingkari/disalahkan. Baik dia seorang mujtahid maupun muqallid” (Ibnu Qayyim,I’lamul Muwaqqi’in, 3/252).

Berkata Sheikh Asy-Syaukani Rahimahullah5:

Kata-kata ini, iaitu Tidak boleh ingkar masalah khilaf”, mungkin akan menjadi penghalang yang besar kepada menyekat urusan amar makruf dan nahi munkar. 

Larangan membatasi diri dengan mazhab tertentu bukan bermaksud mengharamkan taklid secara mutlak dan mewajibkan ijtihad terhadap setiap muslim. Namun inti dari pendapat ini adalah, bagi siapa saja yang dikurniakan Allah ilmu dan pemahaman Al-Quran dan As-Sunnah serta kemampuan beristinbath agar memasuki medan ijtihad.

Dan bagi yang tidak memiliki pemahaman tinggi tersebut, namun mampu meneliti dalil-dalil yang dipakai oleh para mujtahid dan mampu mentarjih (memilih pendapat yang kuat), maka hendaklah ia mengikuti pendapat yang kuat.

Adapun orang awam yang jahil, maka ia boleh mengikuti mujtahid yang dia percayai agama dan ilmunya. Apabila telah nyata baginya kesalahan mujtahid yang diikutinya itu, maka hendaklah ia mengikuti dalil. Janganlah ia sengaja mencari pendapat-pendapat yang ganjil dan lemah.


6
Kalam imam mazhab berkenaan taqlid
“Tinggalkanlah pendapat kami apabila betentangan dengan Al-Quran dan Sunnah”



Imam Abu Hanifah (Imam Mazhab Hanafi) berkata:-
1. “Apabila hadis itu sahih, maka hadis itu adalah mazhabku.” (Ibnu Abidin di dalam Al- Hasyiyah 1/63)

2. “Tidak dihalalkan bagi seseorang untuk berpegang pada perkataan kami, selagi ia tidak mengetahui dari mana kami mengambilnya.” (Ibnu Abdil Barr dalam Al-Intiqa’u fi Fadha ‘ilits Tsalatsatil A’immatil Fuqaha’i, hal. 145) Dalam riwayat yang lain dikatakan, “Adalah haram bagi orang yang tidak mengetahui alasanku untuk memberikan fatwa dengan perkataanku.” Di dalam sebuah riwayat ditambahkan, “Sesungguhnya kami adalah manusia yang mengatakan perkataan pada hari ini dan meralatnya di esok hari.”

3. “Jika aku mengatakan suatu perkataan yang bertentangan dengan kitab Allah ta’ala dan kabar Rasulullah SAW, maka tinggalkanlah perkataanku.” (Al-Fulani di dalam Al- lqazh, hal. 50)

Imam Malik (Imam Mazhab Maliki) berkata:-

1. “Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang manusia yang kadang salah dan kadang benar. Maka perhatikanlah pendapatku. Setiap pendapat yang sesuai dengan Kitab dan Sunnah, maka ambillah. Dan setiap yang tidak sesuai dengan Kitab dan Sunnah, maka tinggalkanlah.” (Ibnu Abdil Barr di dalam Al-Jami’, 2/32)

2. “Tidak ada seorang pun setelah Nabi SAW, kecuali dari perkataannya itu ada yang diambil dan yang ditinggalkan, kecuali Nabi SAW.” (Ibnu Abdil Hadi di dalam Irsyadus Salik, 1/227)

3.Ibnu Wahab berkata, “Aku mendengar bahwa Malik ditanya tentang hukum menyelati jari di dalam berwudhu, lalu dia berkata, ‘Tidak ada hal itu pada manusia’. Maka aku meninggalkannya hingga manusia berkurang, kemudian aku berkata kepadanya, ‘Kami mempunyai sebuah sunnah di dalam hal itu’. Maka Imam Malik berkata, ‘Apakah itu?’ Aku berkata, ‘Al Laits bin Saad dan Ibnu Lahi’ah dan Amr bin Al-Harits dari Yazid bin Amr Al ¬Ma’afiri dari Abi Abdirrahman Al-Habli dari Al Mustaurid bin Syidad Al-Qirasyi telah memberikan hadis kepada kami, ia berkata, ”Aku melihat Rasulullah SAW menggosok antara jari-jemari beliau dengan kelingkingnya.” Maka Imam Malik berkata, ‘Sesungguhnya hadis ini adalah hasan, aku mendengarnya baru kali ini.’ Kemudian aku mendengar beliau ditanya lagi tentang hal ini, lalu beliau (Imam Malik) pun memerintahkan untuk menyelati jari-jari.” (Mukaddimah Al-Jarhu wat Ta’dil, karya Ibnu Abi Hatim, hal. 32-33)

Imam Asy-Syafi’i (Imam Mazhab Syafi’i) berkata:-

1. “Tidak ada seorang pun, kecuali akan luput darinya satu Sunnah Rasulullah. Seringkali aku ucapkan satu ucapan dan merumuskan sebuah kaedah namun mungkin bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAW. Maka ucapan Rasulullah SAW itulah pendapatku” (Tarikhu Damsyiq karya Ibnu Asakir,15/1/3)

2. “Kaum muslimin telah sepakat bahawa barang siapa yang telah terang baginya Sunnah Rasulullah SAW, maka tidak halal baginya untuk meninggalkannya, hanya kerana mengikuti perkataan seseorang.” (Ibnul Qayyim, 2/361, dan Al-Fulani, hal.68)

3. ”Jika kalian mendapatkan di dalam kitabku apa yang bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAW, maka berkatalah dengan sunnah Rasulullah SAW, dan tinggalkanlah apa yang aku katakan.” (Al-Harawi di dalam Dzammul Kalam,3/47/1)

4. ”Apabila telah sahih sebuah hadis, maka dia adalah mazhabku. ” (An-Nawawi di dalam AI-Majmu’, Asy-Sya’rani,10/57)

5. “Kamu (Imam Ahmad) lebih tahu daripadaku tentang hadis dan para periwayatnya. Apabila hadis itu sahih, maka ajarkanlah ia kepadaku apapun ia adanya, baik ia dari Kufah, Bashrah maupun dari Syam, sehingga apabila ia sahih, aku akan bermazhab dengannya.” (Al-Khathib di dalam Al-Ihtijaj bisy-Syafi’I, 8/1)

6. “Setiap masalah yang jika di dalamnya terdapat hadis sahih dari Rasulullah SAW menurut para pakar hadis, namun bertentangan dengan apa yang aku katakan, maka aku ralat di dalam hidupku dan setelah aku mati.” (Al-Hilyah 9/107, Al-Harawi, 47/1)

7. ”Apabila kamu melihat aku mengatakan suatu perkataan, sedangkan hadis Nabi yang bertentangan dengannya adalah hadis yang sahih, maka ketahuilah, bahwa pendapatku tidaklah berguna.” (Al-Mutaqa, 234/1 karya Abu Hafash Al-Mu’addab)

8. “Setiap apa yang aku katakan, sedangkan dari Rasulullah SAW terdapat hadis sahih yang bertentangan dengan perkataanku, maka hadis nabi adalah lebih utama. Olah kerana itu, janganlah kamu taklid mengikutiku.” (Ibnu Asakir, 15/9/2)

9. “Setiap hadis yang sahih dari Nabi SAW maka hal itu adalah pendapatku walaupun kalian belum mendengarnya dariku” (Ibnu Abi Hatim, 93-94)

Imam Ahmad bin Hanbal (Imam Mazhab Hambali) berkata:-

1. “Janganlah engkau taqlid kepadaku dan jangan pula engkau mengikuti Malik, Syafi’i, Auza’i dan Tsauri, Tapi ambillah dari mana mereka mengambil.” (Al-Fulani, 113 dan Ibnul Qayyim di dalam Al-I’lam, 2/302)

2. “Pendapat Auza’i, pendapat Malik, dan pendapat Abu Hanifah semuanya adalah pendapat, dan ia bagiku adalah sama, sedangkan hujah itu hanyalah terdapat di dalam atsar-atsar (hadis-hadis Rasulullah SAW)” (Ibnul Abdil Barr di dalam Al-Jami`, 2/149)

3. “Barang siapa yang menolak hadis Rasulullah SAW, maka sesungguhnya ia telah berada di tepi jurang kehancuran.” (Ibnul Jauzi, 182).

7
Kesimpulan


Bilamana mahu mengutip sesuatu pendapat atau hukum dalam sesuatu masalah:-

1)JANGANLAH secara membuta tuli menggunapakai kalam-kalam para asatizah tanpa mengetahui dari mana sumber dalilnya.

2)Hendaklah memastikan bahawa masalah itu telah dirujuk kepada alim (yang lebih mengetahui dalam bidang masing-masing).

3)Dengarkan hujah-hujah mereka dan lakukan pertimbangan sewajarnya.

4)Pastikan orang-orang alim tempat kita mengambil hujah itu telah berhujah di atas dalil-dalil yang kuat dan rajih dari Al-quran dan hadis serta tidak menyalahi nas-nas yang disepakati.

Jika semua ini telah diikuti maka, kita sebagai orang awam bolehlah mempendapat-pendapat yang dikeluarkan.


Pandangan yang masyhur tidak semestinya betul, sebagai mana juga pandangan yang ganjil (gharib) tidak semestinya silap. Betul dan silap bukanlah perkara yang ditentukan oleh masyhur atau ganjilnya sesuatu di sisi ulama yang mencari kebenaran. Banyak hukum yang masyhur, apabila dikaji dalilnya didapati goyah dan lemah. Banyak juga hukum yang ganjil, didapati dalilnya terang seterang matahari yang tidak dilindungi awan.

Setiap muslim yang mencari kebenaran mestilah meletakkan kekuatan hujah dan kejelasan dalil sebagai neraca, bukannya kemasyhuran sesuatu pandangan dan kuantiti orang yang berpegang kepadanya.

Dan saya suka untuk menukilkan perkataan Imam As-Suyuthi dalam Ikhtilaf al-Mazahib bahawasanya:-

Khilaf yang berlaku di antara mazhab-mazhab berlegar antara yang paling benar dan yang benar, bukan di antara yang benar dan yang salah.

Oleh demikian, berdasarkan pandangan ini, apabila kita berpegang dengan suatu pandangan mazhab –dalam masalah khilaf-, kita hanya layak untuk berkata; ‘Pada hemat saya inilah pandangan yang paling benar, adapun pandangan lain adalah benar’. Tidak harus kita berkata; “Bagi saya inilah sahaja pandangan yang benar, adapun pandangan lain adalah batil, munkar, bid’ah atau salah”.

Wallahu ‘alam bissawab


_______________________________________________

RUJUKAN

1.    Muhammad bin Husain bin Hasan Al Jizaniy .Ma’alim Ushulil Fiqh ‘inda Ahlis Sunnah, Dar Ibnul Jauzi, cetakan kesembilan, tahun 1431 H.
2.    Syaikh Ibnu 'Utsaimin. Al-Khilaf Bainal 'Ulama, 33-34.
3.    Syaikh Muhammad bin Shalih Al ‘Utsaimin. Liqo’ Al Bab Al Maftuh, Masalah no. 49
4.    Syeikh Salim bin Ied al Hilaly. al Jama’at Al Islamiyyah Fi Dhauil Kitabi Was Sunnah Bifahmi Salafil Ummah, Darul Atsariyyah 1425H-2004M.
5.    Dr. Abdul Basit Abd. Rahman, Majalah Solusi Isu 65, Ruangan SYIAR

Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail

  Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail Matan hadith أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لأبي هريرة رضي الله عنه: " إن ...